SIC Tawar Diskaun 50 Peratus untuk Pakej MotoGP 2009

06 November 2008, BY Sepang International Circuits
SIC Tawar Diskaun 50 Peratus untuk Pakej MotoGP 2009
Para peminat lumba motosikal yang mengunjungi saingan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas Sprinta di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini berpeluang mendapatkan tiket untuk perlumbaan MotoGP 2009 di Litar Sepang pada separuh harga.

Pakej istimewa MotoGP Malaysia, yang menawarkan tiket Grandstand Utama, topi dan kemeja-T eksklusif GP Malaysia yang bakal dijual pada harga RM100 nanti, akan ditawarkan pada hanya RM50 di Stadium Batu Kawan pada 8 dan 9 November ini oleh penganjur GP Malaysia, Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
 
“Ini adalah hadiah kami kepada semua para peminat sukan lumba motosikal yang telah memberikan sokongan padu ketika acara Grand Prix Motosikal Malaysia berlangsung di Litar Sepang bulan lepas. Kami mahu menyatakan rasa terima kasih kami kepada anda semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Encik Ahmad Razlan Ahmad Razali.
 
“Selain daripada promosi pakej MotoGP ini, gerai SIC di Stadium Batu Kawan nanti akan turut menyediakan segala maklumat tentang acara-acara lain yang diadakan di SIC khususnya Formula One, Super GT dan perlumbaan Merdeka Millennium Endurance,” kata beliau lagi.  

Sementara Grand Prix F1 Malaysia Petronas akan diadakan pada 3 hingga 5 April 2009 dan perlumbaan Super GT pada 19 hingga 21 Jun, acara Grand Prix Motosikal Malaysia akan diadakan sebagai saingan kedua terakhir musim 2009 pada 23 hingga 25 Oktober dengan saingan penutup musim di Valencia, Sepanyol pada hujung minggu seterusnya.
 
“Kita menyaksikan perlumbaan yang cukup hebat pada tahun ini khususnya menyaksikan Valentino Rossi mencatat satu lagi kemenangan di Sepang dan Marco Simoncelli ditabalkan sebagai juara dunia 250cc. Kita juga menyaksikan para pelumba negara beraksi cemerlang dalam perlumbaan sokongan pada saingan Malaysian Super Series. 
 
“Tahun depan, insyaallah, kita akan menyaksikan pelumba negara bersaing pada perlumbaan utama – sama ada GP125cc atau GP250cc sebagai pelumba ‘wild card”. Itulah rancangan kami dan kami yakin akan dapat melakukannya dengan sokongan daripada Dorna,” kata Ahmad Razlan lagi.

Selain itu, beliau turut menjanjikan acara-acara sokongan di luar litar yang lebih hebat dan lebih meriah bagi menjanjikan satu pengalaman yang gemilang untuk mereka yang datang menyaksikan perlumbaan GP Malaysia di Litar Sepang tahun depan.       
 
“Tahun ini, kita menyaksikan aksi ‘stunt’ daripada Humberto Rubeiro dari Portugal; hiburan dan persembahan artis termasuk Raja Lawak Nabil, cabutan bertuah dan sesi autograph dengan pelumba-pelumba MotoGP. Tahun depan, kita menjanjikan lebih banyak lagi aktiviti untuk para penonton di samping menyaksikan acara lumba motosikal terulung dunia,” tambah Razlan.



For ticket reservation, please call +603-8778 2222 OR visit our ticket agents, else click here to purchase your ticket online now!

back to top