Empat Pelumba Indonesia Perhebatkan Saingan Motocross Di Sepang

18 April 2008, BY Sepang International Circuit
Empat Pelumba Indonesia Perhebatkan Saingan Motocross Di Sepang
Saingan musim baru Kejuaraan Motocross Malaysia SIC-AAM dibuka hujung minggu ini dengan penampilan pertama empat pelumba Indonesia termasuk penunggang cilik perempuan bernama Kirana, yang akan bersaing dalam kategori mini-bike.

 

Mewakili pasukan Hashim Engineering, Kirana akan diriringi oleh dua pelumba berpengalaman Aidi Lazaroni dan Alexander Wiguna , yang akan bersaing dalam kelas expert untuk mencabar para pelumba regular kejuaraan termasuk juara bertahan Pierre Yves Catry dari Perancis dan pelumba motocross No 1 negara, Gaban – atau nama sebenarnya Mohd Amirul Asy-syahid Abdul Hamid.  

Seorang lagi pelumba Agung Pelita Irawan dari Payakumbuh, Sumatera Barat baru berusia 11 tahun tetapi mempunyai rekod kejayaan yang cemerlang termasuk pelbagai kejuaraan pada pertandingan di Jawa Timur, Sumatera dan juga Jakarta.

“Harapan kami semoga dengan penyertaan para pelumba ini akan memikat lebih ramai lagi penunggang dari Indonesia dan juga negara-negara jiran lain khususnya Singapura dan juga Thailand,” kata Pengarah Acara kejuaraan, Encik Erza Anas.

Katanya lagi, saingan musim ini akan berlangsung dalam lapan pusingan dengan saingan pembuka tirai dan penutup musim diadakan di Litar Motocross Sepang. Gelanggang perlumbaan lain adalah di Gopeng dan Grik di Perak, Felda Ulu Penggeli di Kluang dan Segamat di Johor, Litar Jalan Kebun di Shah Alam, Selangor dan Litar Motocross Modenas di Gurun, Kedah.

Pengurus pasukan Hashim Engineering Mohd Norrazri Hashim, berkata kedua-dua pelumba Aidi dan Alexandar adalah para penunggang berpengalaman, yang pernah bersaing di pentas Kejuaraan Motocross Asia. Sementara Aidi akan menunggang motosikal Honda CRF450, Alexander pula akan memacu jentera Kawasaki KXF450. Kirana pula bakal menggunakan motosikal KTM65S.

“Mereka adalah kenalan kami pada pertandingan-pertandingan motocross antarabangsa dan mereka memberitahu saya tentang keinginan untuk menguji keupayaan mereka pada Kejuaraan Motocross Malaysia, yang banyak mereka dengar tentang kehebatannya.

“Jadi, saya menguruskan kedatangan dan penyertaan mereka kerana tahun ini, kami tidak meletakkan sebarang pelumba untuk bersaing kali ini. Rekod mereka juga cemerlang dan kerana itu, kami tidak teragak-agak untuk mengambil mereka untuk berlumba untuk kami musim ini.

“Walaupun membuat penampilan pertama, sasaran yang mereka telah mereka tetapkan adalah untuk mencabar kejuaraan dan mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan sasaran itu. Ya, kami akan bersaing dalam kesemua lapan pusingan musim ini,” kata Norrazri.

Selain kehadiran para pelumba handalan dari luar negara, saingan kelas expert musim ini juga akan diperhebatkan dengan penyertaan adik Gaban – Mohd Habibullah Abdul Hamid ataupun Gabit – dalam kelas berkenaan.

Berusia 17 tahun musim ini, Gabit, juara kelas novis tahun lepas dan kelas junior pada 2005, Gabit dilihat sebagai prospek terbesar negara untuk masa depan sukan motocross khususnya untuk mengembalikan era kegemilangan M. Chandran pada tahun 1980an dulu.

Walaupun mengakui sukar, Gabit, yang akan berlumba untuk pasukan Rani Racing, berkata beliau sudah bersedia untuk memberi saingan kepada para pelumba handalan dalam kelas expert ini termasuk menyaingi abangnya sendiri, Gaban.

Sesi latihan bebas dan kelayakan untuk semua kategori akan diadakan pada hari Sabtu dengan perlumbaan, yang akan berlangsung dalam tiga moto untuk semua kategori, akan diadakan pada hari Ahad.

Masuk adalah percuma.

KALENDAR PERLUMBAAN 2008
Pusingan Tarikh Tempat
Pusingan 1 19 & 20 April Litar Motocross Sepang, Selangor
Pusingan 2 10 & 11 Mei Litar Motocross Lembah Tempurung, Perak
Pusingan 3 06, 07 & 08 Jun Litar Motocross Modenas, Gurun, Kedah
Pusingan 4 19 & 20 Julai Litar Motocross Segamat, Johor
Pusingan 5 02 & 03 Ogos Litar Motocross Gerik, Perak
Pusingan 6 23 & 24 Ogos Litar Motocross Ulu Penggeli, Johor
Pusingan 7 11 & 12 Oktober Litar Motocross Jalan Kebun, Shah Alam
Pusingan 8 15 & 16 November Litar Motocross Sepang, Selangor

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pegawai Akhbar Azhar Ghazali di 019-3837865.



For ticket reservation, please call +603-8778 2222 OR visit our ticket agents, else click here to purchase your ticket online now!

back to top