Next : F1 2012: Petronas Malaysia Grand Prix : 23-25 MAR 2012
Next :Malaysia Merdeka Endurance Race: 29 AUG-01 SEP 2012
Next : World Motorcycle Grand Prix: 19-21 OCT 2012
Next : Sepang 1000km: 06-08 DEC 2012
Next : F1 2012: Petronas Malaysia Grand Prix : 23-25 MAR 2012
Next :Malaysia Merdeka Endurance Race: 29 AUG-01 SEP 2012
Next : World Motorcycle Grand Prix: 19-21 OCT 2012
Next : Sepang 1000km: 06-08 DEC 2012
Saingan musim 2007 mungkin masih berbaki dua pusingan tetapi pelumba motocross muda negara Mohd Habibullah Mohd Salleh sudahpun membuat perencanaan untuk kejuaraan tahun depan dengan misi menyaingi kehebatan penunggangan handalan New Zealand, James Robinson.
Dengan kejuaraan kelas novis sudah hampir pasti menjadi miliknya, penunggang berusia 16 tahun itu percaya bahawa kehebatan Robinson, ataupun Robo, hanya mampu disaingi sekiranya lawannya mempunyai kekuatan stamina dan skil mengambil selekoh seperti bekas juara Asia itu.
“Tahun depan saya masuk expert dan harap-harap boleh lawan dengan Robo. Tetapi, sebelum nak lawan Robo, saya perlu bersungguh-sungguh tingkatkan stamina dan baiki lagi skil saya,” kata Habibullah, yang lebih dikenali sebagai Gabit di kalangan kawan-kawan dan komuniti sukan motocross tanahair.
“Kekuatan Robo adalah pada stamina dan keupayaan dia mengambil selekoh. Dari segi keupayaan motosikal, saya rasa itu semua orang boleh usahakan. Tetapi, stamina dan skil dia memang lain macam,” kata Gabit, yang beraksi cemerlang di Litar Motocross Jalan Kebun, Shah Alam semalam untuk mengutip satu lagi kemenangan.
Mengutip 70 mata semalam, Gabit, juara kelas junior dua tahun lepas, kini mengumpulkan 435 mata sekali gus melebarkan jurang dengan pencabar terdekatnya, Mohamad Noor Sapri, yang mengumpul 237 mata.
Kemenangan pada pusingan seterusnya di saingan Pusingan 7 di Padang Tenggara Johor pada 8 dan 9 September ini akan mengesahkan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Buaya itu sebagai juara baru kelas novis sekali gus menaikkan status beliau ke kelas expert.
“Semua orang tahu bahawa saingan sebenar adalah dalam kelas expert. Tetapi, saingan adalah amat sukar. Robo kuat betul. Tanya saja abang saya, Gaban (Mohd Al-Amirul Ashshahid) memang susah nak saingi Robo,” kata Gabit, yang menunggang Kawasaki untuk pasukan Rani Motorsports Sungai Buaya.
Gaban adalah juara tahun lepas selepas penyertaan Robo dibatalkan kerana mengambil bahagian dalam perlumbaan yang tidak diiktiraf oleh AAM. Cabaran Gaban musim ini, bagaimanapun, tersekat setakat saingan Pusingan 2 kerana kecederaan.
Ditemui di Litar Motocross Jalan Kebun dengan tangan kanan masih bersimen, Gaban berazam untuk merampas kembali mahkota kejuaraan musim depan bersama-sama dengan pasukannya Boon Siew Honda Racing.
“Saya akan membantu Gabit apa yang terdaya bagi memastikan kami bersama-sama mencipta kejayaan musim depan. Tetapi, besar kemungkinan kami akan berlumba untuk pasukan berlainan,” tambah Gaban.
Seperti yang dijangkakan, Robo mencatat satu lagi kemenangan dalam saingan kelas expert di Litar Jalan Kebun sekali gus merapatkan lagi dirinya dengan pendahulu liga, Pierre Yves-Catry, yang sekadar menduduki tempat ketiga di belakang adik Robo, Michael Robinson.
Mewakili KTM Racing, Robo, yang tidak menyertai dua pusingan awal, kini mengutip 300 mata – ketinggalan 46 mata di belakang Catry, yang mengumpul 346 mata daripada enam pusingan.
Dengan tunangnya, penyanyi Siti Sara Rizaudin antara penonton yang menyaksikan perlumbaan semalam, Robo menunggang dengan penuh bergaya khususnya ketika membuat lompatan-lompatan bagi menghiburkan para penonton.
Saingan Pusingan 6 kelas veteran dimenangi oleh Chris Sullivan manakala saingan Cubcross pula dimenangi oleh Mohd Hisam Mohd Yusop. Penunggang tempatan daripada Kelab Motocross Jalan Kebun, Mohammad Firdaus Agos Mawardi memenangi saingan motosikal ‘trailbike’.
For ticket reservation, please call +603-8778 2222 OR visit our ticket agents, else click here to purchase your ticket online now!